Pelbagai kes yang melibatkan jenayah kanak-kanak sudah acapkali kita dengar di mana-mana sahaja, baik di media cetak mahupun di media elektronik. Malah kes ini memang sedang hangat diperkatakan sekarang. Bayi ini tidak kira sama ada dibuang dan ditemui dalam keadaan yang telah mati ataupun dibuang dan ditemui dalam keadaan yang masih hidup. Mengapakah hal seperti ini harus terjadi? Ramai bayi yang dibuang di tepi jalan, di masjid, di tempat pembuangan sampah, di tepi sungai dan yang seumpamanya. Tidakkah anda berasa kasihan melihat bayi ini mati di tempat yang tidak selayaknya? Senario ini seolah-olah sudah menjadi 'barah' dalam masyarakat pada hari ini.Baru-baru ini, menurut satu laporan yang disiarkan di sebuah stesen televisyen swasta melaporkan bahawa seorang bayi lelaki telah ditemui mati tersangkut pada pukat. Adakah ini juga hasil daripada sikap seorang individu yang tergamak membuang bayi??? Punca utama dalam kes pembuangan bayi ini adalah remaja hamil tanpa nikah. Hal ini demikian kerana, remaja merupakan kumpulan penyumbang utama kepada masalah ini.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Dr. Fatimah Abdullah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (UKM), rata-rata mereka yang terlibat dengan 'insiden' tersebut berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah, datang dari keluarga ibu atau bapa tunggal, ibu yang tiada pendapatan seta dikategorikan daripada keluarga yang besar iaitu mempunyai jumlah adik-beradik di antara 4-8 orang.
Berikut merupakan fakta tentang bagaimana senario buang bayi ditangani oleh negara-negara lain yang ada di dunia:
ARAB SAUDI: Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Human Right Watch pada tahun 2003, menterinya telah mengeluarkan arahan menghalang pihak hospital menerima wanita hamil yang tidak ditemani oleh suami. Sementara, Timbalan Menteri Kesihatan pada ketika itu mengesahkan bahawa oihak hospital tidak dibenarkan mengeluarkan wanita yang bersalin di hospital pulang ke rumah selagi tidak dijemput oleh suami atau mahramnya. Seandainya selepas melahirkan anak, tiada sesiapa yang datang menjemputwanita berkenaan, maka siasatan akan dijalankan. Walaupun wujud peraturan ketat bagi membendung permasalahan ini, namun pada tahun 2006 dicatatkan sebanyak 16 kes bayi dibuang. Daripada jumlah tersebut, 4 yang ditemui mati. Kebanyakan bayi yang ditemui ialah bayi yang berusia 10 bulan ke bawah.
AFRIKA SELATAN: Sebuah organisasi Door Of Hope menubuhkan hole in the wall pada Ogos 2000 yang dibiayai oleh
Mission Church di Johannesburg. Sehingga Jun 2004 seramai 30 orang bayi telah ditinggalkan di situ.
AMERIKA SYARIKAT: Negara maju ini tidak terkecuali menghadapi masalah pembuangan atau pembunuhan bayi. Dilaporkan antara 150-300 bayi yang baru dilahirkan dibunuh setiap tahun. Untuk mengatasi masalah tersebut, AS telah mewujudkan program Save Haven di setiap negeri. Setakat ini sebanyak 48 buah negari sudah mempunyai Yayasan Perlindungan Kanak-Kanak. Melalui Akta Perlindungan Bayi Save Haven, ibu bapa atau saudara mara dibenarkan menghantar bayi yang tidak diingini berusia 1 hari hingga sebulan ke unit kecemasan hospital dan balai polis.
AUSTRIA: Undang-undang membenarkan ibu bapa yang tidak mahukan bayi yang dilahirkan diletakkan di pusat baby hatch. Pegawai kebajikan masyarakat akan mengambil bayi itu untuk dijaga selama 6 bulan sebelum diberikan kepada keluarga angkat.
BELANDA: Hanya seorang dalam setahun kes buang bayi berlaku. Belanda mengamalkan polisi membenarkan wanita melahirkan anak di hospital dengan hanya menggunakan nama samaran. Ibu hamil tanpa nikah juga boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan tanpa menunjukkan identiti dan anak boleh didaftarkan sebagai anak terlantar. Selain itu, program anak yang tidak diingini yang ditempatkan di hospital turut dijalankan tanpa perlu seseorang itu menyatakan identiti ibu bapa sebenar.
CHINA: Polisi satu anak satu keluarga menjadikan fenomena buang bayi perkara biasa. Walaupun sekarang polisi itu agak longgar, tetapi jumlah bayi yang dibuang tetap meningkat kerana budaya dan kemiskinan. Beberapa etnik di China menganggap, mempunyai anak cacat adalah dianggap aib. Anak-anak yang dilahirkan cacat akan dibuang atau ditinggalkan di merata-rata tempat. Tiada sebarang inisiatif diambil oleh kerajaan China untuk menangani masalah ini.
HAMBURG, JERMAN: Pada tahun 2000, negara tersebut menyediakan ruang kecil seperti almari di dinding hospital yang dilengkapi dengan katil bayi, alat penghangat suhu, selimut dan mainan dipanggil babyklappe atau baby hatch. Apabila pintu almari itu tertutup, alat penggera akan berbunyi, menandakan ada bayi baru yang ditinggalkan. Bantuan perubatan segera diberikan. Ibu yang tidak mahukan bayi mereka boleh meninggalkannya di situ tanpa dikenali identitinya. Pada 2005 sebanyak 80 babyklappe telah dibina di seluruh negara. Di Belgium, kaedah yang sama digunakan untuk membendung masalah pembuangan bayi.
HUNGARY: Hampir sedozen baby hatch telah dibuka di seluruh negara terutamanya di hospital. Baby hatch yang pertama dibuka di hospital Schopf-Merei Agost di Budapest pada tahun 1996.
INDIA: Bayi dibuang dan dibunuh adalah perkara biasa kerana kemiskinan. Paling banyak adalah bayi perempuan kerana faktor dowry.Di Tamil Nadu, Ketua Menteri J.Jayalalithaa menubuhkan baby hatch pertama pada 1994 yang dipanggil Thottil Kuzhanthai. Baby hatch diluskan ke Selatan India kerana telah berjaya menyelamatkan ramai bayi perempuan daripada dibunuh.
ITALI: Sebanyak 8 buah pusat baby hatch ditubuhkan oleh Movement for Life. Pada Disember 2006, sebuah pusat baby hatch yang moden telah dibina di Policlinico Casilino di Rom dan pada Februari 2007, pusat ini telah menerima bayi pertamanya. Sebuah lagi baby hatch akan dibina di Hospital Santo Spirito di Vatican City.
JEPUN: Pada 2006, Hospital Jikei, di bawah Kumamoto Prefecture telah menubuhkan storks cradle dalam mengurangkan masalah pembuangan dan pengguguran bayi. Sehingga 26 November tahun lalu seramai 51 orang bayi telah diterima. Program ini diletakkan di bawah pengawasan yang ketat oleh jawatankuasa khas.
KENYA: Akibat wabak penyakit, AIDS, keganasan dan kemiskinan, ramai bayi di negara itu yang menjadi anak yatim dan dibiarkan di tepi jalan. Setiap 10 minit bayi dibuang atau terbiar kerana ditinggalkan oleh ibu bapa. Dianggarkan 700 orang mati kerana AIDS dan lebih sejuta kanak-kanak yang menjadi yatim kerana ditinggalkan. Abandoned Baby Center Nairobi Kenya yang ditubuhkan pada 2001 berjaya menyelamatkan nyawa bayi yang terbiar di tepi jalan.
PAKISTAN: Yayasan Edhi di Pakistan mempunyai 300 pusat baby hatch atau jhoola yang berjaya menyelamatkan 16, 000 nyawa bayi. Ibu atau bapa boleh meninggalkan bayi yang tidak diingini di luar pintu pusat tersebut yang lengkap dengan katil. Setiap satu jam, kakitangan pusat itu akan memeriksa untuk memastikan ada bayi yang ditinggalkan.
REPUBLIK CZECH: Menteri Kebajikannya membenarkan baby hatch atau baby box ditubuhkan pada tahun 2006 dan ia sah dari segi undang-undang republik itu. Dengan dibantu Yayasan Save The Children, seramai 30 baby hatch ditubuhkan dan sudah menyelamatkan 15 nyawa.
Satu peringatan kepada remaja terutamanya remaja perempuan, hendaklah kamu menjaga maruah dan kehormatan kamu agar kamu tidak terjerumus ke lembah dosa yang paling hina. Bebaskanlah diri anda dari segala dosa yang boleh merosakkan hati.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Sesungguhnya seseorang itu apabila dia melakukan dosa maka satu titik hitam akan menitik ke atas hatinya dan jika dia berterusan melakukan dosa, maka titik hitam itu akan terus meliputi seluruh hatinya (hatinya secara keseluruhan akan menjadi hitam/gelap) "
H.R Abu Hurairah
Dan benarlah ketika Allah S.A.W berfirman dalan Surah Al-Mutaffifin ayat 14 yang bermaksud: " Mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa) dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan "
Oleh itu, saya ingin mengajak pembaca sekalian untuk bersama-sama membendung permasalahan ini tidak kira dari apa sudut sekalipun.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisan. Jika tidak mampu juga maka ubahlah dengan hati. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.
Wallahualam bissawab...