BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, April 17, 2010

Bila kutukan & hinaan menjadi bara di dalam hati

Sememangnya lumrah hidup sebagai seorang insan yang hidup di dalam dunia yang fana ini penuh dengan cabaran, dugaan, halangan dan godaan. Namun, kita sebagai seorang hambaNya yang penuh dengan kekurangan, sabar adalah kunci kepada segala permasalahan yang telah Dia berikan untuk kita. Tidak kiralah kita bersabar untuk melalui satu fasa kepayahan dalam hidup, bersabar untuk menunggu mahupun bersabar untuk menahan kemarahan.

Sabda Rasulullah S.A.W : " Tidak ada keberanian yang paling disukai Allah melainkan keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T mengisi dadanya dengan keimanan.

Pernahkah anda menerima kutukan ataupun hinaan dari seseorang yang juga hidup di bumi Allah ini? Mungkin ada di antara pembaca blog ini pernah mengalami keadaan yang seumpama ini. Apakah yang anda rasa? Hanya anda sendiri yang bisa merasa... Ingatlah bahawa kutukan dan hinaan adalah satu perkara yang tidak elok untuk dilakukan. Hal ini kerana, banyak natijah yang akan diperoleh daripada perbuatan yang seumpama ini. Umpamanya dendam, hasad dengki dan kemarahan yang membuak-buak di dalam hati mereka yang menerima kutukan dan hinaan. Bagi pengutuk dan penghina pula, hati mereka akan diselaputi oleh titik-titik hitam yang akan kekal di dalamnya seandainya mereka tidak bertaubat. Ingatlah wahai insan, Allah tidak akan mengampunkan dosa kamu sekiranya seseorang hamba Allah itu tidak mengampunkan dosa kamu jika dosa itu bersangkut-paut sesama manusia. Mungkin hal ini dilihat sebagai satu perspektif yang kecil sahaja, namun natijahnya cukup kuat untuk meruntuhkan sesebuah institusi masyarakat mahupun keluarga. Dalam satu laporan oleh Berita Harian melaporkan seorang isteri mohon cerai dek kerana tidak tahan dengan kutukan dari si suami yang juga dalam masa yang sama kuat membebel.

Renungkanlah wahai pembaca... Adakah ini tidak menunjukkan bahawa kutukan dan hinaan itu sangat teruk akibatnya??? Bersamalah kita berusaha dan berdoa agar kita sentiasa terpelihara daripada segala kemungkaran. Bersabarlah wahai mereka yang diuji olehNya. Sesungguhnya, setiap yang terjadi itu akan ada hikmahnya... Dan bagi mereka yang suka melakukan perbuatan yang tersebut, bertaubatlah kamu selagi nyawa belum lagi di pangkal halkum...






Jika kejahatan itu dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam...
Jika kebaikan itu dibalas kebaikan, maka itu adalah perkara biasa...
Jika kebaikan dibalas kejahatan,maka itu adalah zalim...
Tapi...
Jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji...

0 comments: